Tuesday, 9 February 2016

Kisah ringkas sebelum tidur


cerita ni ditulis dah lama sebenaqnya... ditulis utk masuk pertandingan menulis essay padia xtau yg di anjurkan oleh UPM, saja la nk habaq, alhamdulillah esssay ni memenangi tempat ke-3.. dapatla ratusan ringgit hari tu *senyum senget*, maka ak bolehla sara hidup ak kt mlysia summer yg lalu... sekian penerangan...



.................................................................................

 Tengahari itu hujan sangat lebat hingga menyebabkan Nek Som yg sudah uzur digigit usia tidak dapat menemani satu-satu cucu jagaannya, Farizah  untuk mengambil keputusan SPM pada hari itu. Tapi Nek Som yakin cucunya itu akan mendapat keputusan yang cemerlang kerana beliau merupakan pelajar harapan sekolah.  Farizah kini tiba di halaman rumah sambil menolak basikalnya yang dibaluti karat-karat besi.



Nek Som tidak sabar ingin mengetahui keputusan peperiksaan Farizah lalu mengesot perlahan-lahan ke muka pintu. Farizah tersenyum riang dan secara tidak langsung mempamerkan lesung pipit nya. Dia membaca kan satu persatu keputusan setiap matapelajaran yang diambilnya kepada Nek Som kerana Nek Som tidak dapat melihat. Nek Som sangat bangga dengan pencapaian cucunya yang memang dikenali ramai sebagai seorang yang sopan dan berpewatakan mulia di dalam kampung tersebut tetapi malam itu Nek Som tidak dapat tidur lena kerana memikirkan masa depan Farizah.



Nek Som hanya menyara keluarga dengan menganyam atap dan menjualkannya kepada orang kampung tetapi permintaan semakin kurang di zaman globalisasi tanpa limitasi ini. Beliau terus termenung ke luar jendela yang bertutup, sama sahaja bagi Nek Som sama ada tingkap itu terbuka mahupun tertutup. Hujan semakin lebat , bumbung rumah yang usang mengizinkan air mata langit membusinya lalu membasahkan badan Nek Som. Malam itu Nek Som dan Farizah tidur dalam kesejukan yang mutlak kerana kebasahan.


Keesokkan paginya, mentari menjelma kembali seperti cahaya ‘spot light’ gergasi di langit yang membiru. Farizah semakin risau dengan suhu badan Nek Som yang panas mendadak. Sejak dari Farizah kecil,Nek Som selalu berpesan jangan mengharapkan bantuan orang lain. Tetapi pada hari itu, Farizah bertekad untuk memohon bantuan kecemasan dari pihak ambulans dengan menggunakan telefon awam yang jauhnya 10 Km dari rumah mereka, berbekalkan syiling 30 sen,Farizah berlari sepantas kilat mendapatkan telefon awam terbabit. Tetapi disebabkan Kampung Cicak Tersepit terlalu jauh di pedalaman Kokdiang kedah, ambulan mengambil masa yang lama untuk tiba di rumah mereka. 


Setibanya ambulan, semuanya telah terlambat, jantung Nek Som tidak lagi mengepam darah ke seluruh sel-sel badan Nek Som atau dalam erti kata yang lain, Nek Som telah meninggal dunia. Farizah hilang perhitungan dan tempat untuk bergantung. Farizah kesal kerana dia tidak sempat belajar cara-cara menganyam atap dari Nek Som.


Setelah sebulan Nek Som pergi, Ramlah,sahabat rapat Farizah datang ke rumahnya dan membawa satu hajat. Ramlah akan ke kota raya Kuala Lumpur untuk mencari kerja dan menumpang di rumah Mak su nya di sana. Dia memujuk Farizah untuk mengikutnya juga. Farizah tidak sampai hati untuk meninggalkan rumah Nek Som yang seperti patah menanti rebah itu, tapi apabila dia mengenangkan keselamatannya dalam rumah itu yang sememangnya tidak terjamin itu, dia pun membulatkan tekad untuk turut serta Ramlah ke Kuala Lumpur.


Mak su Ramlah bukanlah seorang yang berada, beliau berniaga kecil-kecilan dengan membuka sebuah warung  di hadapan sebuah sekolah menengah di Subang Jaya. Ramlah telah mendapat kerja di sebuah Kilang Karpet di sekitar kawasan itu manakala Farizah lebih berminat membantu Mak su berniaga. Setelah Nek Som meninggal dunia, Farizah tidak lansung berfikir untuk menyambungkan pelajarannya kerana dia sedar mereka tidak mempunyai duit yang cukup. 



Sambil menggoreng pisang, Farizah temenung melihat budak-budak sekolah yang dijemput ibu dan ayah mereka. Seumur hidupnya, dia tidak pernah melihat ibu dan ayahnya. Menurut penceritaan Nek Som, ibu Farizah meninggal dunia semasa melahirkanya manakala ayahnya terkorban sewaktu mengutip buah durian di sebuah dusun di hujung kampungnya. 


Lamunan Farizah dihapuskan oleh seorang pelajar sekolah  “ Kak, milo ais satu”. Farizah pun akur lalu menyiapkan milo ais seperti yang dimintanya. Semasa Farizah meletakkan milo di atas meja, mata mereka bersatu selama beberapa saat dan kemudian dileraikan oleh suara Mak su memanggil Farizah dari dalam kedai. Farizah pun beredar. Rama-rama dalam perutnya kini berkepak aneh,bagaikan ada satu perasaan aneh yang menyapa. Melihatkan buku teks yang dibawa oleh budak lelaki tersebut menunjukkan dia merupakan pelajar SPM. Selepas hari itu, Farizah sedar yang setiap hari selepas waktu sekolah,pelajar lelaki tersebut akan datang dan menelaah pelajaran di warung itu hingga jam 6 petang.


Sebulan telah berlalu tetapi hari ini agak berbeza, lelaki tersebut kelihatan sangat tertekan lalu menconteng-conteng bukunya dengan penuh perasaan amarah. Farizah rasa terpanggil untuk berbual-bual dengan jejaka terbabit. “Kalau milo ais tu tak cukup manis cakap la, tak perlu nak mengamuk dekat sini” kata Farizah masih dalam nada sopan. 


Lelaki itu mendongak dan menyerlahkan matanya yang kini dibanjiri air mata. Farizah tergamam dan terkejut. Beliau cuba menghulurkan tisu pada lelaki tersebut tetapi dengan tidak sengaja dia menghulurkan kain buruk yang dipegangnya untuk mengelap meja sebelumnya itu. Hati lelaki itu tercuit disebabkan reaksi Farizah yang gopoh gapah itu, lalu berderailah ketawa. “Saya Farhan, jemputlah duduk”. Farizah yang berasa sangat malu pun hanya duduk . “ Nama kita hampir sama, saya Farizah” jawabnya menggunakan loghat Kedahnya dan Farhan kelihatan bertambah terhibur. Dengan mudah Farhan menceritakan masalahnya tanpa ditanya oleh Farizah. Rupa-rupanya Farhan dan Farizah mempunyai umur yang sama, Farhan gagal dalam SPM tahun lalu dan ibu bapa nya ingin dia mengulang semula peperiksaan yang agak penting di Malaysia itu. Farizah tanpa berfikir panjang menawarkan diri untuk mengajar Farhan hingga dia menduduki SPM hujung tahun itu. Sejak hari itu mereka semakin rapat dan prestasi Farhan di sekolah semakin memberangsangkan.


Petang itu belansung seperti petang-petang yang sebelumnya di mana Farizah mengajar Farhan dengan penuh sabar. Farhan yang sebenarnya sudah mempunyai perasaan lebih dari seorang kawan terhadap Farizah pun merenung Farizah secara diam-diam. Tetapi tiba-tiba Farhan menjerit terkejut kerana muka Farizah bertukar menjadi seperti seorang nenek tua yang bertaring panjang dan bermata merah,merenung kembali kepadanya. Selepas jeritannya itu muka Farizah kembali seperti biasa. 


Farhan memohon maaf dan dia ingin cepat pulang. Farizah berasa aneh tetapi hanya mendiamkan diri. Dia sendiri berasa seram sejuk sejak Farhan meninggalkan warung itu.


Malam itu Farhan tidak boleh tidur, dia asyik memikirkan apa yang dilihatnya petang tadi. Keesokan harinya warung Mak Su tutup, itulah pertama kalinya warung itu ditutup. Farhan berasa aneh. Ingin saja dia menelefon Mak Su atau Farizah tapi dia baru tersedar bahawasanya dia tidak pernah ada nombor telefon mereka berdua. 


Sudah hampir sebulan warung Mak Su ditutup, tiada langsung khabar berita dari Farizah mahupun Mak Su sehinggalah pada suatu hari, Farhan terserempak dengan Mak Su di pasaraya Tesco. Tanpa berlengah lagi dia mendapatkan Mak Su dan menanyakan perihal Farizah. Mak Su pada mulanya enggan mengulas lanjut tapi setelah didesak dan dipaksa akhirnya dia menceritakan hal yang sebenar. 

“ Mak Su hantar Farizah balik kampung,biar orang kampung yang ubatkan dia,Mak Su dah tak mampu”. Setelah mendapatkan alamat Farizah di Kedah, Farhan bergegas pulang dan mendapatkan orang tuanya.

Datuk Ramlee dan Datin Khatijah berasa sangat terhutang budi dengan Farizah kerana wanita itulah yang membuatkan anak mereka lebih tekun belajar dan mereka sedar yang Farhan banyak berubah kearah kebaikkan sejak dia berkenal dengan Farizah. Kebetulan pada waktu itu cuti sekolah, jadi mereka setuju untuk membawa Farhan ke Kedah dan mereka ingin menanggung kos rawatan Farizah. 


Alamat yang diberikan oleh Farhan ternyata tidak menyenangkan Datin Khatijah dan Datuk Ramlee tetapi mereka hanya mendiamkan diri. Setibanya dihadapan rumah usang Farizah, Datin Khatijah menangis. Farhan hairan dengan reaksi ibunya itu.



Datuk Ramlee yang masih stabil pun mula bercerita tentang perkara besar yang pernah berlaku. “18 tahun lalu, ada seorang wanita yang meninggal dunia setelah melahirkan anak kembar. bapa kepada bayi tersebut telah meninggal 4 bulan sebelum itu dan kebetulan namanya juga Ramlee. 

Bayi-bayi tersebut dipelihara oleh nenek mereka pada mulanya tetapi disebabkan kesempitan hidup, nenek tersebut menyerahkan salah seorang bayi itu kepada ayah semasa ayah menguruskan satu projek besar di Kedah ini “ cerita Datuk Ramlee tenang. “Bayi kembar tersebut telah diberi nama Farhan dan Farizah” sambung Datin Khatijah sambil teresak-esak. 

Farhan berasa keliru . Selama ini yang merubah hidupnya ialah kembarnya sendiri. Dia tidak pernah tahu bahawasanya dia adalah anak angkat dan mempunyai kembar. Pada mulanya dia berasa sangat marah terhadap orang tuanya tetapi dia mengenangkan segala kasih sayang yang ditumpahkan kepadanya tidak pernah tidak mencukupi,dia kembali tenang.

Orang kampung yang datang beramai-ramai ke rumah Farizah mengalihkan fokus mereka 3 beranak. Mereka bergegas ke dalam pondok itu untuk melihat apa yang berlaku.


Farizah yang dahulu bukanlah Farizah yang sekarang. Farizah kini seperti dirasuk hantu. Dia menjilat2 lantai rumah nya sendiri dan kelihatan sangat menjijikan. Datin Khatijah bertanya kepada salah seorang orang kampung disitu sementara seorang ustaz sedang mengubati Farizah. “ Nek Som dia dulu ni ada pendamping, bila dia dah meninggal, mestilah kena ada warisnya, tapi Farizah enggan merima benda-benda khurafat ni, inilah jadinya” kata mak cik berbaju kurung hijau itu. 

Farhan dengan lantangnya bersuara secara tiba-tiba “aku cucu Nek som juga, dan aku rela mewarisi pendamping itu asalkan dia tidak mengganggu kakakku!” penduduk kampung terdiam. Angin kencang tiba-tiba bertiup  dan serentak itu jugak makhluk di dalam badan Farizah bersuara garau dan bergaung “hanya wanita yang boleh mewarisi aku”. Rumah papan bertiang itu begoncang dengan dahsyatnya dan kebanyakan orang kampung telah lari bertempiaran akibat ketakutan. 


Datuk Ramlee masih cuba menenangkan Datin Khatijah yang kelihatan separa pengsan manakala ustaz dan para jemaah surau yang hadir membaca Ruqyah dan sebagainya untuk menenangkan makhluk di dalam badan Farizah. Makhluk itu kelihatan rimas dengan bacaan-bacaan ayat suci Al-quran itu lalu berlari ke luar dari rumah kearah hutan. Farhan pun tanpa berlengah lagi turut mengejar makhluk yang membawa jasad kakaknya bersama itu. 


Larian itu mengambil masa hampir sejam tetapi Farhan masih lagi tidak putus asa mengejar dan akhirnya dia dapat mencapai tangan Farizah. Lampu terang menyuluh dari arah kanan, mereka menoleh dan kelihatan sebuah trailer yang sangat besaq meluncur laju ke arah mereka. Farhan dan Farizah kini terbaring di atas jalan dan dikerumuni pengguna-penguna lebuh raya berkenaan. 


Farizah kelihatan normal dan tersenyum ke arah Farhan, mereka bangun dan berdiri sambil tersenyum tetapi manusia-manusia disekeliling mereka berwajah sedih dan masih merenung ke jalan. Farhan dan Farizah menoleh dan melihat jasad mereka berdua terbaring bersebelah diatas jalan, maka sedarlah mereka yang roh mereka kini telah berpisah dari jasad. 


‘Setiap yang bernyawa akan merasai mati dan hanya pada hari kiamat sajalah diberikan dengan sempurna balasanmu’ dipetik dari surah Ali-Imran ayat 185. 



Tamat

semoga hari esok better than today, in shaa Allah

No comments:

Post a Comment

Statcounter